Wednesday, December 31, 2008

Apa lagi yang Gapena tunggu ?

Gabungan Persatuan Penulis Nasional(Gapena) memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik (PPSMI) ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.

Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata gabungan itu mahukan supaya kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat mungkin.

"Menteri Pelajaraan boleh cakap kami beremosi. Hakikatnya kami memang beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat Bahasa Melayu seperti yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya pada pemberita selepas majlis makan malam Gapena bersama media, di sini, malam ini.

Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kepada Bahasa Melayu.

"Kami bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, PPSMI secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Langkah itu mungkin sebagai tanda kemuncak kepada kekecewaan kalangan cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu kerana desakan supaya PPSMI tidak diteruskan sebelum ini tidak mendapat maklum balas yang sepatutnya daripada kerajaan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perpaduan Melayu.

No comments: